Banyak orang beranggapan bahawa ejen hartanah hanya ingin mendapatkan komisen daripada pemilik rumah, jadi mereka diharapkan untuk melakukan semua kerja dari A hingga Z. Untuk pengetahuan umum, kita perlu melibatkan ejen hartanah terutama dalam pembelian rumah sub-sale atau rumah terpakai.
Mereka adalah individu yang telah sah dilantik oleh pemilik rumah untuk memudahkan proses pembelian rumah tersebut. Oleh itu, sebelum anda berurusan dengan ejen hartanah, ada beberapa perkara yang perlu anda fahami terlebih dahulu.
i. Ejen Hartanah Tidak Memutuskan Pinjaman Perumahan
Masih ada yang salah faham bahawa ejen hartanah boleh meluluskan pinjaman perumahan. Sebenarnya, keputusan kelulusan pinjaman perumahan adalah di tangan bank. Ejen hartanah hanya bertindak sebagai perantara yang memberi nasihat mengenai dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan. Anda boleh meminta pandangan mereka untuk memastikan bahawa anda layak untuk membuat permohonan pinjaman perumahan bagi membeli rumah tersebut.
ii. Ejen Hartanah Menghargai Masa Mereka
Ada yang menganggap ejen hartanah mempunyai banyak masa kerana pekerjaan mereka tidak terikat dengan waktu pejabat. Walaubagaimanapun, masa mereka juga berharga. Mereka bersedia mengorbankan masa lapang mereka pada hujung minggu untuk membawa anda melawat rumah-rumah. Gunakan teknologi untuk berkomunikasi dengan mereka. Jika anda tidak dapat hadir secara fizikal untuk melihat rumah, sebaiknya beritahu mereka lebih awal melalui panggilan telefon atau WhatsApp. Ini akan memudahkan ejen hartanah merancang aktiviti mereka.
iii. Ejen Hartanah Tidak Akan Membuat Keputusan Untuk Anda
Sebelum berunding atau berjumpa dengan ejen hartanah, pastikan anda mempunyai bajet dan ciri-ciri rumah yang anda inginkan. Berkongsi maklumat ini dengan ejen hartanah akan membantu mereka memberi nasihat mengenai rumah yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda. Jangan cuba untuk menyembunyikan maklumat penting mengenai pendapatan anda, kerana ini hanya akan membuang masa anda dan ejen hartanah. Ingatlah untuk selaraskan bajet dengan kemampuan anda sendiri.
iv. Ejen Hartanah Tidak Boleh Mempercepatkan Proses Pertukaran Nama
Sekiranya anda telah bersetuju dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan dan telah menandatangani perjanjian jual beli (S&P), anda perlu tahu bahawa proses seterusnya akan diuruskan oleh peguam yang telah dilantik. Walaupun begitu, terdapat ejen hartanah yang bersedia membantu dalam mengawasi dan mengikuti perkembangan keseluruhan proses hingga selesai. Perlu diingatkan bahawa perkara seperti pertukaran nama boleh mengambil masa yang agak lama, dan jika berlaku sebarang kelewatan, bersikap sabar dan tidak menyalahkan ejen hartanah, kerana ia adalah di luar kawalan mereka.