Ramai berpendapat bahawa ejen hartanah hanya semata-mata memandang kepada komisen daripada pemilik rumah, sehingga masyarakat mengharapkan mereka untuk membantu dalam segala urusan jual-beli dari awal hingga akhir. Untuk pengetahuan umum, keterlibatan ejen hartanah sangat penting terutamanya dalam pembelian rumah subsale atau second hand. Mereka secara rasmi dilantik oleh pemilik rumah untuk memudahkan proses pembelian tersebut. Oleh itu, sebelum berurusan dengan ejen hartanah, terdapat beberapa perkara yang perlu difahami terlebih dahulu.
i. Ejen Hartanah Bukan Pihak Penyedia Pembiayaan
Ramai yang masih keliru dengan beranggapan bahawa ejen hartanah mempunyai kuasa untuk meluluskan pinjaman perumahan. Sebenarnya, keputusan mengenai pinjaman perumahan berada di tangan pihak bank. Ejen hartanah hanya berperanan sebagai penasihat yang memberi nasihat kepada pembeli tentang dokumen sokongan yang diperlukan. Walaupun begitu, anda boleh meminta pandangan mereka untuk memastikan bahawa anda memenuhi syarat untuk membuat permohonan pembelian rumah.
ii. Ejen Hartanah Menghargai Masa
Ramai juga yang menganggap bahawa ejen hartanah mempunyai masa yang fleksibel kerana pekerjaan mereka tidak terikat pada waktu pejabat. Walaubagaimanapun, masa mereka juga amat berharga. Mereka sanggup mengorbankan masa lapang mereka, termasuk pada hujung minggu, untuk membawa anda melihat rumah. Anda sebenarnya boleh menggunakan teknologi untuk berkomunikasi, jika anda tidak dapat bertemu secara langsung dengan ejen hartanah, beri tahu mereka lebih awal melalui telefon atau WhatsApp. Pendekatan ini akan memudahkan mereka merancang aktiviti mereka.
iii. Ejen Hartanah Tidak Membuat Keputusan Untuk Anda
Sebelum memeterai perjanjian bersama ejen hartanah, pastikan anda telah menetapkan bajet dan kriteria rumah yang anda inginkan. Berkongsi maklumat tentang bajet anda agar mereka dapat memberikan nasihat mengenai hartanah yang sesuai. Elakkan daripada menipu mengenai kemampuan kewangan anda, kerana ini hanya akan membazirkan masa anda, masa ejen, dan tenaga. Orang kata ukur bajet mengikut kemampuan diri kita sendiri.
iv. Ejen Hartanah Tidak Bertanggungjawab atas Proses Penukaran Nama
Setelah semua syarat telah diluluskan dan anda telah menandatangani perjanjian jual-beli (S&P), ingatlah bahawa proses seterusnya akan ditangani oleh pihak guaman yang telah dilantik. Walaupun begitu, terdapat ejen hartanah yang sanggup membantu mengikuti perkembangan setiap perkara berkaitan rumah sehingga proses selesai. Penting diingatkan bahawa proses pertukaran nama boleh menjadi lambat, dan jika ini berlaku, bersabarlah dan hindari menyalahkan ejen kerana ini berada di luar kawalan mereka.